Sejak kecil, saya membesar dengan pemikiran ‘orang kaya (banyak duit) adalah orang jahat, orang yang tak bersyukur, orang yang tamak’.
Kita tak perlu pun hidup kaya-raya, cukuplah dengan apa yang ada. Supaya kita dapat jadi orang baik je, jadi orang yang bersyukur, jadi orang yang pemurah.
Begitulah pemikiran saya sejak kecil hingga dewasa.
Pada saya (waktu dulu), duit adalah sesuatu yang kita perlu dapatkan, kemudian belanjakannya semula. Ianya sama ada kita belanjakan untuk kebaikan atau sebaliknya. Yang pasti, duit adalah sesuatu yang mesti dibelanjakan. Kerana itulah saya pulang ke Malaysia selepas tamat belajar di Jepun tanpa ada sebarang simpanan!
Bodoh kan?
Padahal waktu di Jepun, tiap bulan dapat duit biasiswa dalam RM4k tau.
Tapi itu lah, kurang celik tentang kewangan, hinggakan bila ada duit je saya asyik guna je.
Pada saya, kita tak boleh pegang duit banyak-banyak, nanti jadi tamak haloba. Nanti jadi JAUH DARI TUHAN.
Bila makin meningkat usia, makin celik mata dengan keadaan sekitar, makin banyak membaca buku-buku kewangan, pemahaman saya tentang kewangan berubah sama sekali.
Saya dah jumpa orang miskin yang jahat, yang tak bersyukur, yang tamak.
Saya juga dah jumpa orang kaya yang baik hati, yang bersyukur, yang pemurah.
Pokok pangkalnya, attitude seseorang itu bukan bergantung pada apa yang ada dalam poketnya, tapi pada apa yang ada dalam hatinya.
Orang kaya akan buat jahat?
Ramai je orang miskin yang mencuri.
Bahkan kalau lihat penjenayah yang rogol, liwat, dera budak segala tu, boleh kata majoriti adalah golongan yang miskin.
Ramai sangat orang yang terdesak dengan masalah kewangan, hingga buatkan mereka sanggup buat apa saja untuk dapat duit.
Masalah kewangan banyak buatkan rumahtangga musnah, banyak buat orang jadi stress, banyak buatkan mak ayah keletihan bekerja hingga terabailah anak-anak.
Bila baca buku ‘Secrets of Millionaire Mind’ oleh T. Harv Eker, saya makin celik mata, bahawa baik atau tidak seseorang itu, bukanlah bergantung pada apa yang ada dalam poket, tapi bergantung pada apa yang ada dalam hati.
Sedangkan hadis pun ada menyebut,
Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati."
(Riwayat al-Bukhari no.52, Muslim no.1599 dan Abu Daud, no.3329,3330)
Kalau dah terang lagi bersuluh yang baiknya seseorang adalah tidak dipengaruhi oleh apa yang ada dalam poket, apakah kita tidak mahu menjadi kaya?
Menjadi orang kaya beriman, yang akan berinfak paling banyak, yang bayar zakat paling banyak, yang membantu bayar kos perubatan orang lain, yang membantu bayar kos pendidikan orang lain.
Semua tu hanya akan dapat kalau kita kaya.
Moga kita berjaya menjadi orang kaya beriman.
0 comments
Nak tanya, boleh.
Nak bagi pendapat, boleh.
Saja nak komen, pun boleh.