CERITA KEHIDUPAN

JULING BOLEH DIRAWAT, ELAKKAN ANAK JADI BAHAN EJEKAN

08:33

Saya juling.

Dah rasa diejek. 

Hina sangat rupanya memiliki mata juling.


Tiap hari hadap ejekan.

Beza power amat banyak kiri dan kanan.

Kiri 1000, kanan 350.

Percaya ke?

Panjang kisah kalau nak cerita punca beza power yang ketara ni. Nantilah kalau rajin, saya tulis dalam blog.

Cermin mata memang membantu tapi kadangkala buatkan kepala pening untuk fokus melihat sesuatu.

Dulu memamg low self esteem. tapi mula confident sejak sekolah menengah tingkatan 2 gitu (mula pakai cermin mata di tingkatan 1).

Mungkin tu bagi kesan psikologi juga sebab cermin mata agak bantu membetulkan kedudukan mata.

Tapi selalu juga mata jadi juling walau pakai cermin mata, maklumlah beza power amat banyak. Tak mampu nak fokus sangat.

Iya, orang tak tahu struggle ku.

Mana-mana ibubapa yang baca post saya, please seek help for your child.

Btw, sekarang ni confidence level dah bagus.

Siap ada orang cakap,

"Bagusnya kalau boleh confident macam Gja."

Ahaksss.

Saya sertakan perkongsian Dr. Fahd Razy di laman Facebook beliau tentang pengalamannya berjumpa pesakit juling.

----
MATA JULING


Dia datang untuk sakit yang biasa. Demam, batuk, selsema. Tapi perwatakannya aneh. Selalu tunduk. Malu-malu. Jawab antara dengar dan tidak. Soalan diulang dua tiga kali, baru dia menjawab.

Gadis itu sangat introvert. Ketika hendak periksa tekak, baru saya tahu kenapa. Pesakit saya itu baru berusia 15 tahun. Kulit putih, tak berjerawat (ah, krim apa dia pakai ya), cantik. Cuma... matanya juling. Mata kiri.

"Tak pernah cek mata ke waktu kecil?"

Dia geleng. Kemudian tunduk, takut-takut.

Ini kes tipikal. Anak-anak yang bermata juling, tak mendapat rawatan, akhirnya jadi bahan ejekan di sekolah. 'Self-esteem' merudum. Jadi penakut. Dan pelbagai konflik dalaman dan masalah psikologi yang lain.

Ia tak harus terjadi! Tidak pada zaman sekarang. Penting untuk ibu bapa (atau kalau ada kawan atau saudara mara terdekat yang punyai mata juling), bahawa ia boleh dirawat. Dan kesan juling boleh diminimumkan!

APA ITU JULING?

Nama manjanya 'strabismus'. Ada banyak jenis, dan punca. Esotropia. Exotropia. Alternating. Dan sebagainya. Tetapi untuk kefahaman awam, dua pekara ini perlu anda tahu.


Ia boleh terjadi kerana dua faktor utama:

SATU- Kekuatan otot yang mengawal pergerakan mata tidak seimbang (extraocular muscle). Banyak puncanya, tapi itu kita perincikan kemudian

DUA- Perbezaan 'power' mata kiri dan kanan yang ketara. Boleh jadi kerana anisometropia (beza power) atau mata malas (amblyopia).


Amblyopia adalah keadaan di mana salah satu mata gagal mencapai potensi kepekaannya kerana kurangnya rangsangan. Ia keadaan kekal dan tak boleh diubati walaupun dengan memakai cermin mata (kalau sekadar beza power, boleh betulkan dengan cermin mata)! Pendek kata, jika satu mata patut boleh capai 100% kepekaan, tapi kerana tidak digunakan (tak dapat rangsangan), ia gagal capai 100%. Mungkin 80%. Mungking 50%. Atau mungkin hanya 10%.

Peringkat awal kanak-kanak (sehingga umur 7-8 tahun), kedua-dua mata perlu terima rangsangan berterusan untuk membolehkan ia capai potensi 100% ini. Dalam kes mata juling, pesakit hanya menggunakan sebelah mata untuk melihat, dan otak kita akan 'mengabaikan' rangsangan dari mata yang juling (sebab kalau tak, pesakit akan nampak dua imej bertindan!), dan akhirnya menyebabkan amblyopia / mata malas.

Jadi, amblyopia boleh jadi PUNCA kepada juling, dan boleh jadi KOMPLIKASI kepada juling!

RAWATAN AWAL MATA JULING SANGAT PENTING

Anak-anak anda yang masih kecil di bawah tanggungjawab anda. Mereka tak dapat buat keputusan sendiri, maka andalah yang bertanggungjawab demi masa depan mereka. Dalam kes pesakit saya, ibu bapa tidak mengambil inisiatif (saya tak pasti apa alasan mereka) untuk merawat mata juling anaknya ketika kecil. Akibatnya, ketika berusia 15 tahun, mata kirinya yang juling sudah jadi 'mata malas'. Mereka yang terima natijahnya.

Dan ia bukan kes pertama. Ramai ibu bapa takut untuk dapatkan rawatan.

"Kena operate ke doktor? Tak nak lah!"

"Kecil lagi, nanti ok lah tu"

"Ala, bukannya bahaya pun juling kan?"

"Saya sibuk lah doktor, tak ada masa nak pergi hospital."

"Saya tak tahu pula boleh rawat."

...dan pelbagai alasan lagi.


Sesetengah juling boleh dirawat dengan menutup mata yang normal untuk memberi rangsangan kepada mata juling. Kadangkala, ia dirawat dengan hanya memakai cermin mata yang betul! Semudah itu!

Rawatan awal penting! Bahkan ketika awal kanak-kanak. Ia bukan sekadar juling, kesan psikologinya terhadap anak sangat signifikan.

Ya, sesetengahnya memerlukan pembedahan, tetapi ia tidak melibatkan ruang dalam mata pun! Saya pernah merawat dan assist dalam pembedahan sebegini. Ia hanya melibatkan manipulasi otot di sekeliling bebola mata (dipendekkan, atau diubah lokasi attachment).

Apa-apapun ia boleh dirawat, jika dirujuk awal. Terutama awal kanak-kanak. Ia tanggungjawab anda, ibu bapa.

"Boleh saya jumpa doktor mata? Malu lah orang ejek saya selalu," kata pesakit itu.
Saya senyum, angguk. Mungkin mata malasnya tak boleh diubati, tapi masih tetap ada pembedahan untuk mengurangkan darjah juling, sekurang-kurangnya untuk tujuan kosmetik (agar kelihatan lebih baik), dan mengembalikan keyakinan dirinya.
Dia introvert. Pemalu. Takut-takut. Rendah keyakinan diri kerana mata juling. Tapi wajahnya masih putih, cantik. Kulit licin. Entah krim jerawat apa dipakainya.

Catatan: Tulisan ini turut dimuatkan dalam buku 'Doktor Tanpa Kot Putih'. Boleh dapatkan di pasaran atau hubungi saya untuk tempahan.

#fahdrazy
#cakarayamseorangdoktor
#doktortanpakotputih

---

Moga kita semua dapat 'menyelamatkan' lebih banyak orang.

Tak dilupakan, moga kita tak mendidik anak-anak untuk terus mengejek kejadian ciptaan Tuhan.


You Might Also Like

2 comments

  1. Oh, baru tahu ada rawatan masalah juling.

    ReplyDelete
    Replies
    1. jangan lupa sebarkannya agar lebih ramai yg dapatkan rawatan.

      Delete

Nak tanya, boleh.

Nak bagi pendapat, boleh.

Saja nak komen, pun boleh.