APA NAK BUAT JIKA BUKU PINK MENGANDUNG HILANG ?

12:14

Salam.

Hai semua.

Ibu-ibu mengandung yang mendaftar di klinik kerajaan (KKIA - Klinik Kesihatan Ibu dan Anak), pasti tahu apa itu buku pink (ada orang sebut buku merah) . Buku yang paling penting, sama penting macam IC kita tau. Nanti saya cerita kenapa sama penting macam IC.

APA YANG NAK DIBUAT JIKA BUKU PINK HILANG ?

Pasti ramai yang tertanya-tanya kan? Begitu juga saya suatu ketika dahulu. Sekarang saya dah tahu nak buat apa sebab dah pun ada pengalaman buku pink hilang kahkah.

Baca juga : Keputihan sewaktu mengandung

Saja rasa nak kongsi sebab saya teringat kisah kehilangan buku pink waktu mengandungkan Tiara  dulu.

Kisahnya begini…

Sebagai orang yang skema ikut cakap doktor, saya memang simpan buku pink sebaik mungkin, sentiasa ada dalam beg saya. Pergi kerja, angkut. Pergi shopping barang baby, angkut. Pergi balik kampung, angkut. Haaa sampai tahap gitu gayanya, macam mana boleh hilang?

Entah.
Itulah yang menjadi misteri hingga kini.

Yang saya ingat, kali terakhir saya lihat buku pink tu ada dalam berg sewaktu nak pergi ke tempat kerja.

Dalam seminggu sebelum check-up di KK, (sila percaya yang saya HAFAL tarikh check up selain letak nota dalam phone), saya pun tercari-carilah buku pink tu. Cari punya cari, tapi masih tak jumpa. Berdebarlah apa lagi.

Cuak campur gabra, semua ada. Cari dalam kereta, selongkar setiap pelusuk rumah, tetap TAK ADA! Siap paksa Mr R tolong cari, tetap TAK ADA!

Dalam menggelabah tu, sempat mesej pada sepupu yang bertugas sebagai doktor di sebuah KK, tanya beliau apa nak buat? Yang saya pasti, kena REPORT POLIS, sebab buku pink tu amat penting seperti IC (kad pengenalan) kita tu.

Perkara yang paling nak tahu adalah PERLU REPORT POLIS ATAU PERGI KK DULU?

Beliau jawab, pergi je KK dulu. Biar misi dan doktor check keadaan kita dahulu, risau kot-kot ada masalah kesihatan waktu mengandung. Beliau jawab begitu sebab di KK beliau praktis begitu.

Lalu pada tarikh yang sepatutnya check-up, saya pun pergi awal-awal lagi ke KK, maklumlah orang buat salah kan. Mestilah kena tunjuk bagus sikit untuk cover.

Bila sampai je di KK, misi tanyalah mana buku pink tu.

Saya jawablah yang buku pink tu hilang. Saya datang KK untuk check-up dulu, then baru nak pergi report polis.

Tapi kena marah pula dengan misi tu. Cis.
Rupanya di KK yang saya chek-up tu, mereka praktis kena report polis dahulu, kemudian bawa salinan laporan tu ke KK. Barulah KK boleh teruskan check-up.

1.SILA BUAT LAPORAN POLIS JIKA BERLAKU KEHILANGAN

Saya pun, terus pergi ke balai polis berdekatan, untuk buat laporan kehilangan buku pink.

Entahlah kenapa, cuak sangat waktu tu haha. Saya paksa Mr R yang jadi jurucakap dengan polis.

Tapi beliau cover part intro je, yang lain say yang cerita sendiri, maklumlah cerita sendiri lagi best.

Yang adik polis tu boleh pulak blur, tak tahu apakah gerangan buku pink. Budak baru habis praktikal kot, muka muda remaja. Nasib baik ada rakan polisnya yang perempuan, yang tahu apakah gerangan buku pink tu. Ye lah kan, kalau tak tahu apa itu buku pink, macam mana nak menerima kenyataan tentang kehilangan buku pink?

Adik polis tu boleh pulak tanya,

“Buku tu hilang di mana?”

Saya jawab,

“Kalau saya tahu hilang di mana, takdelah buku tu hilang. Mesti dah jumpa.”

Jujur lagi lurus jawapanku.

BUKU PINK (BUKU MERAH) PENTING IBARAT KAD PENGENALAN

Nampak tak kawan-kawan, buku pink tu penting ibarat IC, sebab jika ia jatuh pada tangan yang tidak bertanggungjawab, mungkin buku tu dimanipulasi dan disalahguna. Maklumlah zaman sekarang banyak je orang yang mengandung tanpa berkahwin. KK juga hanya buat check-up dan rawatan pada mereka yang mempunyai buku pink sahaja.

Pada yang belum tahu, untuk buat buku pink pun amat strict, perlu ada salinan sijil nikah disertakan sewaktu pendaftaran kali pertama.

Jadi, untuk memastikan buku pink itu tidak disalahguna, maka laporan polis perlu dibuat jika berlaku kehilangan buku, supaya jika tiba-tiba ada orang yang muncul lalu mengaku buku pink itu miliknya, ia dapat dikesan.

2.BAWA SALINAN LAPORAN POLIS KE KK UNTUK MENERUSKAN CHECK UP

Selepas selesai urusan buat laporan, saya dan Mr R terus bergegas ke KK untuk check up, risau betul jika sampai lewat di KK. Jenuh nak menunggu cek oii.

3.DAPATKAN SALINAN BUKU PINK YANG BARU DARIPADA KK

Seperti yang diketahui ramai, buku pink akan sentiasa ada 2 salinan, 1 salinan disimpan di KK, manakala 1 salinan disimpan oleh ibu mengandung itu sendiri.

Dalam kes saya, misi di KK tak buat buku baru bagi yang dah kehilangan buku pink.

Bear in mind, rekod lama tentang check up sebelum ini masih tersimpan di KK walaupun buku yang ada pada saya sudah hilang.

KK hanya tulis ATAS KERTAS sahaja, laporan polis juga distaplerkan pada kertas tersebut. KK kata mereka memang tak buat buku baru bagi yang dah hilang buku.

Maka untuk check-up seterusnya juga, saya pun hanya usung kertas-kertas itu sahaja. Tiap kali check up, tiap kali tu misi dan doktor akan tanya, “Mana buku?” “Kenapa hilang?” “Mana awak letak?” dll soalan berbaur sebegitu.

Makin lama, ,makin teballah kertas-kertas tu. Huhu.

Ditakdirkan pada suatu hari, waktu check up di klinik desa (kecil sedikit daripada KK biasa, hanya ada misi, tiada doktor), misi di situ memberi saya BUKU BARU yieehaaa! Kertas-kertas yang ada sebelum ni, distaplerkan sahaja pada buku tu. BUKU BARU yang saya dapat itu adalah kertas-kertas yang disalin (fotostat) dari muka depan ke muka belakang, yang distapler di bahagian tengah menjadi sebuah buku. Faham ke? Kira ok lah, daripada usung helaian kertas. Misi dan doktor nak menulis di kertas tu jadi susah, jadi bila dah dibukukan, jadi lebih mudah dan praktikal.

Iya begitulah kisah saya yang kehilangan buku pink mengandung. Buku asal yang hilang itu masih tak dapat dikesan hingga kini, anak yang dikandungkan itu sudah pun berumur 1 tahun 7 bulan. Buku asal entah ke mana. Yang fotostat je ada. Jadik le daripada takde kan.

Nasihat saya pada ibu-ibu mengandung di luar sana, sila jaga buku pink anda baik-baik.

Tapi kalau dah jaga baik pun hilang juga seperti kes saya, maka silakan terjah ke balai polis untuk buat laporan ya. Pergi cepat, kalau boleh sebelum tarikh check-up tu. Kang kelam-kabut seperti saya. Nak menunggu di KK tu dah lama, maka gunakan masa anda sebaiknya ok.

Jaga kesihatan, jangan stres sangat haha. Kalau boleh, amalkan vitamin untuk ibu mengandung sebaiknya ok.

Waktu mengandung ni macam-macam sakit boleh datang, dengan kaki yang asyik kejang pun satu hal nak kena hadap.

Kalau tak tahu nak makan vitamin apa, mari tanya saya. Moga anak dan ibu sentiasa ceria dan sihat sentiasa!

You Might Also Like

0 comments