akutulis

Makcik di surau ketika solat asar

00:54

Di tempat saya bekerja, ada seorang makcik, yang saya anggarkan umurnya sudah awal 50-an.

Jalan setapak-setapak, katanya lutut sakit. Naik tangga pun senget-senget sambil pegang pemegang.
Solat pun duduk je.

Selalu saya bertembung dengannya waktu solat asar di surau.

Tiap kali bertembung, saya perhatikan yang makcik ini akan bentangkan beberapa sejadah. Satu untuk dirinya, siap ada kerusi. Kemudian dibentangkannya beberapa helai sejadah lain, mengikut bilangan orang yang baru masuk surau ketika itu (orang yang belum tunaikan solat).

Kadangkala makcik ini seakan terburu-buru membentangkan sejadah, cuba mendahului orang yang masuk ke surau. Pendek kata, makcik cuba pastikan yang sejadah itu dibentangkan oleh dirinya, bukan orang lain.

Pernah suatu hari, ketika hanya saya dan dia di surau, saya bertanyakan sebab mengapa dia selalu bentangkan sejadah untuk orang lain.

Makcik hanya tersenyum. Tak sepatah pun dia jawab.
Saya jadi terdiam sendiri.

Saya lihat senyumannya ada sesuatu.

Serius. Ada sesuatu pada senyumnya.

Saya cuba menghadam.

Inikah yang dipanggil kepuasan berbuat kebaikan walaupun seakan kecil?

Atau lebih jujur, inikah yang dipanggil 'menumpang' kebaikan yang bertempias?

Makcik, terima kasih.
Saya belajar sesuatu.

Nak buat kebaikan, mudah je.
Kan?

Kebaikan yang tak dipandang? 


You Might Also Like

0 comments